Buat Tatapan seseorang yang banyak membantu dalam hidupku.
Cabaran hidup yang sentiasa mencabar..... bukan senang nak membahagiakan orang yang kita sayang dan bukan susah untuk kita melaksanakannya. HIDUP mesti diteruskan walaupun kita tahu masanya hampir tiba.
Abang...., terima kasih di atas bimbinganmu... tapi mampukah aku membahagiakan serta mengembirakan dirimu buat kali terakhir.
Terima kasih bang. Akan ku kenang jasa-jasa serta nasihat darimu.

03 August, 2008

Cerita Sang Puteri 3


Mama, Qis terlalu sakit mama. Setiap hari Qis pohon dalam doa, agar Allah leraikan penderitaan ini. Qis tak lupa juga panjatkan dalam doa Qis, agar Allah pelihara mama, Papa, abang long, kak ngah dan haiqal. Qis minta Allah berkati hidup kita sekeluarga. Qis memohon agar andai nyawa yang dipinjamkan diambil semula, biarlah ada orang yang sudi hulurkan walau hanya sepotong ayat Al-Quran untuk Qis. Rayu Qis pada mama, hadiahkanlah surah yassin untuk Qis. Mesti Qis akan senyum, Qis pasti bahagia walau Qis pergi dalam derita yang teramat. Qis suka dengar suara mama melagukan bacaan Al-Quran. Qis tenang mendengar setiap kalimah yang mama baca. Qis akan terus rindukan suara mama yang lemak merdu itu. Tolong ya mama, sampaikan pada papa, abang long, kak ngah dan haiqal, hadiahkanlah Qis bacaan yassin, Qis tak minta banyak. Tak perlu keluarkan wang, tak perlukan tenaga yang banyak, sikit aje Qis minta, minta dengan penuh harap, hadiahkan lah Qis dengan sesuatu yang Qis suka.
Mama, Qis rasa Allah sayangkan Qis. Mungkin hari ini, Allah akan makbulkan doa Qis. Mungkin hari ini adalah pengakhiran derita Qis. Allah akan mansuhkan penyakit Qis mama. Qis pernah bermohon, andai kematian adalah pengakhiran derita ini, Qis sedia menerima. Qis sedia pergi dulu walaupun usia Qis masih muda. Qis sedia meninggalkan muka bumi ini walaupun Qis masih belum puas bermanja dengan mama. Lagipun, tiada siapa yang akan meratap pemergian Qis nanti. Yang Qis pasti, hanya mama seorang yang akan merasa kehilangan Qis. Mama seorang yang akan bersedih dengan pemergian Qis. Tapi, Qis yakin, sedih mama hanya sekejap. Kepiluan mama akan terubat dengan adanya papa, dengan kehadiran Abang long, kak ngah dan haiqal dalam hidup mama. Pastinya warna kehidupan mama indah, ceria walau tanpa Qis.
mama, dipengakhiran warkah ini, Qis dengan rasa rendah diri, dengan penuh kasih, memohon ampun dan maaf dari mama. Qis pinta halalkan seawal titis susu yang mama suapkan hinggalah segala apa yang Qis makan atau minum. Setiap kelakuan Qis, setiap kesilapan, pinta Qis, ampunkanlah. Rayu Qis pada mama, sayangilah Qis walau Qis telah tiada. Pada papa, abang long, kak ngah dan haiqal maaf Qis pinta, dari hujung bilah rambut hingga kehujung jari kaki, sepuluh jari Qis susun, relakan pemergian Qis. Jangan ada sebarang kesalan, jangan simpan rasa kecewa dalam hati. Biarlah apa yang terjadi, dibawa angin lalu, yang lepas biar jadi sejarah.Terima kasih yang tak terhingga kepada mama dan papa kerana sudi mengasuh Qis, walaupun ibu kandung Qis sendiri menolak kehadiran Qis dibumi ini. Hanya Allah yang akan membalas jasa mama dan papa. Qis redha dengan ketentuan yang diturunkan Allah ini. Segalanya punya hikmah yang tersembunyi.
Mama, sayang rasanya untuk pergi, ralat rasanya tidak dapat menatap wajah mama sebelum Qis berangkat. Teringin sangat Qis mendakap tubuh mama, mencium seluruh wajah mama. Izinkan mama, Qis mengucup tangan dan wajah mama dalam khayalan.

Mama, Papa, Abang long, kak ngah dan haiqal, Qis minta izin untuk pergi. Lambaian akhir ini, Qis harap sudi disambut oleh kalian. Jangan iringi jasad Qis dengan air mata. Rugi membazir air mata untuk seorang anak dan adik yang tak pernah bersinar dalam keluarga. Iringilah Qis dengan doa agar Qis tidak dicampak kedalam relung panas menyambar, InsyaAllah.
Salam kasih, salam penuh kecintaan untuk mama tersayang, papa, abang long, kak ngah dan haiqal terkasih, ampun kan adik, redhalah dengan takdir ilahi. Assalamualaikum.
-suara hati adik- Nur Balqish Aida-


Air mata mama luruh, laju membasahi seluruh wajah. mama kesal, kerana tidak dapat mendakap Balqish. Mama tak dapat penuhi impian dan permintaan terakhir Qis, anak mama yang amat jarang membuat permintaan.
Papa hanya kaku disisi mama, air mata papa yang mengalir, telah membuktikan yang papa turut terasa pemergian Balqish. Tapi papa tau, papa telah terlewat. Kali ini, Qis pergi bukan dekat, kalau kehujung dunia pun Qis membawa diri, papa masih boleh mencari,boleh memujuk agar Qis pulang kerumah, tapi, perjalanan Qis kali ini jauh, terlalu jauh untuk papa jejak. Penyesalan papa tidak berguna. Papa menyesal hanya setelah Qis tiada, papa terjaga hanya setelah mendengar suara hati Qis. Abang long, kak ngah dan haiqal turut menangis. Mereka kesal, hati selembut dan sebaik Balqish tidak sepatutnya dirobekkan. Qis tidak pernah mengharapkan apa-apa, mahalkah harga sebuah kasih sayang?
Jenazah adik yang baru tiba, mama mandikan, mama kapankan. mama bersihkan seluruh tubuh adik, penuh kasih, mama cium ubun-ubun adik. Itulah kucupan terakhir mama. mama tahu adik dapat merasa kasih sayang yang keluar dari seluruh hati, urat dan jantung mama. mama mahu adik tahu mama terlalu kasihkan adik, walau adik bukan lahir dari rahim mama. Adik, Nur Balqish Aida, adalah anak mama dunia akhirat. Khidmat terakhir mama untuk adik telah mama laksanakan. mama sedekahkan bacaan Surah Yassin sepeti yang adik minta, walau tidak dimintapun, mama tetap akan lagukan bacaan itu untuk adik. mama ingin adik ditempatkan didalam syurga bersama dengan anak-anak solehah yang lain. mama iringi pemergian adik kepusara aman dengan pandangan mata yang masih berkaca. Bibir mama terkumat-kamit beristighfar, memujuk hati agar tidak menangis. mama tak mahu adik melihat mama menangis, mama mahu adik pergi dengan tenang. Adik, mama sayang adik, sebagaimana dalamnya kasih sayang adik buat mama.

Sekian.

No comments: